Thursday, September 28, 2006

Kelahiran Huda.

Assalamualaikum...
Hari ni nak cerita keluar drp tajuk berkaitan Ramadhan kite. Saja nak citer hal kelahiran Huda, lepas Husna dan Aiman.

Masa hampir tarikh bersalin, saya baru register kelas utk semester k 3. Dan masuk minggu kedua, iaitu 18 jun 2003, segalanya bermula. Hari Rabu (18 Jun), saya mula rasa tak sedap badan, mild contraction. Kami ke klinik berdekatan rumah saja nak tau kalau2 servix dah buka. Mmg dah buka 3 cm dan dah bleeding sikit. Doktor suruh pulang dulu dan monitor keadaan. Saya tergerak nak ke kelas Master petang tu lbh krg jam 5 ptg tapi suami tak beri takut2 nanti tiba2 nak bersalin dlm kelas pula. Tapi hati saya kuat mengatakan takkan ada apa2, sebab mmg stail cervix saya bukak lambat sejak 2 kelahiran sebelumnya. Namun, saya ikut jer kata suami, kang buatnya betul ada apa2 berlaku, saya pulak kena tadah telinga dengar taklimat khas dia.ahaks. Sungguh bagai diduga, mmg tak de apa2 berlaku.

Khamis (19 Jun)-Kebetulan Khamis tu adalah routine antenatal check up saya kat klinik bersalin yg saya dah daftar tu. Saya beritahu doctor apa yg berlaku semalamnya dan bila doctor check cervix lagi , masih 3 cm…kan saya dah kata. Mmg lambat bukak. Doktor tak tahan masuk wad lagi, dia suruh pulang dulu dan dia pesan supaya saya banyak bergerak.

Jumaat (20 Jun), saya ada kelas Master jugak di sebelah petang (5 -7 ptg), dan suami tanya nak pergi ke sbb dia dah dengar sendiri doctor suruh banyak jalan. Saya kata naklah. So, dia hantar saya ke kelas. Beg baju mmg standby jer dlm bonet keta tu sejak beberapa hari yang lalu in case emergency.

Lepas jer suami turunkan saya kat kulliyah, dia pun balik ke ofis dia. Hehe..on the way ke pintu lif nak ke tingkat 4 tu, saya terasa lain tiba2..nyut..nyut..Mild contraction bermula!!!!!!! tapi saya selamba jer slow berjalan. Keluar drp lif, nak berjalan kaki jauh gak bagi ibu mengandung 9 bln ni, walhal, ikutkan tak sampai 5 minit sampailah. slow aje saya berjalan ngan rasa sengal dan nyut..nyut…Saya masuk kelas, rupanya baru nak mula. Kengkawan sekelas terkejut besar tengok saya..sebabnya depa ingatkan saya dah berpantang bersalin. Ahaks. Alkisahnya hari rabu yg suami tak bagi pergi kelas tu, saya called sorang kawan sekelas, bagi tau dia pesan kat pensyarah yg saya ni maybe nak bersalin. Lepas tu dia bagitau pensyarah yg saya on the way nak bersalin..hahaha. tu yg kengkawan ramai ingat saya dah bersalin. Selama dua jam tulah, saya dengar lecture pensyarah sambil melayan contraction ni. Habis kelas, saya slow berjalan dan menggunakan lif turun ke surau.. Saya called suami suruh dia solat maghrib siap2 kat ofis sebab saya nak ke klinik terus.

Lepas solat maghrib, saya tunggu suami kat luar kulliyah. Daripada situ kami terus pg klinik bersalin dan saya bagitau sekian sekian ttg mild contraction saya. Makanya saya terus ditahan wad.Tapikan, masa ni masih lagi cervix saya 3 cm!!!..sabor ajelah. Saya called bagitau emak yang saya kena tahan wad. Makanya Aiman dan Husna tidur rumah maklah malam tu. Tengah malam tu saya tak boleh nak tidur, bukannya sebab mild contraction..bahkan contraction tu hilang pulak. Tapi sebab nak biasakan diri tidur kat wad tu. Boring betul. Tgh malam suami telefon kot2 saya dah nak bersalin ke, saya bagitau nothing happened. Oh ya, doktor tak masukkan drip air utk segerakan bersalin sebab depa tak mau tanggung risiko kot2 apa2 berlaku tengah malam, tak pelah.

Sabtu (21 Jun)-Awal subuh, cervix saya diperiksa lagi, bidan kata baru 4 cm..bayangkan..lmabt tak lambatnya stail cervix saya. Contraction pun tak rasa sangat, very mild. Tapi saya mula dimasukkan air drip. Tp dos ubat tu tak tinggi so mmg gitu2 ajelah contraction saya…hinggalah krg jam 10 pag, barulah cervix saya jadi 6 cm…masa tu tak sakit sangat lagi. Tp saya dah kena tahan dlm labour room. Benci betul. Saya tak suka labour room, sebab banyak sangat perkakas besalin tu, rupa labour room yg serius jer.. Tp depa start tambah dos ubat drip tu, rasa contraction mula kuat. Ohh..sakitnya Allah yang tahu, air ketuban saya dipecahkan bidan. Tak lama lepas tu ia keluar, tapi bidan terkejut sebabnya air ketuban tu dah berubah warna disebabkan najis baby. Rupanya huda dah terberak kat dalam. Cepat2 depa bagi saya pakai oksigen utk elakkan huda lemas di dalam (hidung saya dimasukkan tiub kecil utk laluan oksigen tu.). Oh ya, masa ni suami mmg dah ada. Saya ni jenis panik n tak tahan sakit. So faham2 ajelah. Kejap bising sakit, sakit. Zikir pun zikir jugak. Masa tu 1 nurse dan 1 bidan jaga saya seblm doctor sampai. Depa dah maklumkan pada doktor kat bawah tp masa tu dia tengah buat dressing sorang pesakit kt tingkat bawah.

Contraction makin kuat, tp cervix msih lambat bukak, still 6 cm…depa nak bagi saya pakai oksigen besar pula, entah apa namanya, tujuannya supaya cervix dibukak lebih cepat. saya tolak sbb takut tngok penekup muka tu yg besar sangat lepas tu terasa bahang oksigennya.Punyalah depa pujuk, suami pujuk pun saya tak mau. at last depa ikut aje kehendak saya.

Entah mcmana saya terasa mcm nak terbuang air besar, saya mula meneran perlahan secara tak sengaja, saya bagitau bidan n nurse tu, tp bidan tu tak bagi teran, dia kata baru 6 cm, nak tunggu 10 cm.geram pulak saya. lepas tu dia keluar. Nurse yg tinggal tu ajar saya cara bernafas betul (ini sbnrnya pertama kali saya diajar bernafas nak tahan sakit contraction tu). Saya buat mcm yg disuruh. Mmg terasa lega sikit. Oh ya, saya tak rasa sakit pinggang langsung. Syukur Allah makbulkan doa saya selama pregnant ni. Tak lama lepas tu saya terasa macam ada sesuatu turun ikut tulang belakang dan saya terasa nak meneran sangat, saya bagi tau nurse tu, punyalah dia sporting. Dengan loghat utaranya dia cakap,
ikut suka hati syikinlah lagu mana syikin nak buat.

Saya pun terteran, tiba2 saya terasa sesuatu. Saya bagitau nurse, nurse tengok. Eh syikin, rambut baby dah nampak. Ha…saya terkejut. Dengan tak baring straight betul, kaki tak bukak betul, dan kepala saya dah terperosok kat kepala katil, saya pun teran terus siap ngan suara sekali keluar.ahaks (Sabtu, 21 Jun, 11.04 a.m). Kiranya nurse tu pun tak sempat nak sambut betul. Kalau saya beranak sorang mmg confirm tak jatuh baby ke lantai sebabnya mmg banyak lagi ruang kat hujung kaki saya. Yang bidan kat luar tadi, cepat2 masuk labour room dan cepat2 amik Huda sebab takut2 dia dah tertelan air najis tu. Masa nilah baru doktor sempat naik..hehe operasi dah abih.

Apapun, syukur sangat sebab kali ni saya tak lama sangat dlm labour room, adalah dalam 2 jam. Cumanya kesian kat Huda sebab dia kena jaundice dan sudahnya saya kena amik maternity leave 1 sem dan bukan 2 minggu (peraturan universiti)mengikut perancangan asal dek kerana jaundice Huda berlarutan sebulan lamanya dan suami nak saya berehat betul.

Tuesday, September 26, 2006

Tak boleh ka..., Sahur & Iklan

Assalamualaikum...

Pagi semalam, saya beli sayur dan ikan kat penjual cina suami isteri tu. Nyonya tu turun aje daripada lori dia, saya saja usik,

awak puasa ke?

taklah...eh, saya baru tau, rupanya boleh masak pagi tapi tak makan. sebab jiran saya dia masak pagi untuk budak dia makan.

Yelah, memang bolehlah.

Hari ini baru saya tau. Eh, kalau saya saja2 tak mau puasa, tak boleh ka? (dia mengandaikan kalau dia Muslim)

Tak boleh, itu sudah kira berdosa...

Eh..saya tarak boleh puasa ooo, sakit perut nanti. Saya ada gastrik. Saya tak boleh tak makan satu hari.

Saya pun ada gastrik, tapi saya boleh puasa. Kecuali kalau awak sakit sangat, boleh buka. Atau kalau awak baru belajar puasa dan tak larat puasa satu hari, boleh buka. Nanti sudah kuat, lain kali awak kena gantilah. Orang pompuan, kalau period, tak boleh puasa, sebab kotor, tapi kalau sudah bersih, lain hari kena ganti. Atau kalau awak pergi jalan jauh, awak boleh tak puasa, tapi lain hari awak kena ganti.

kalau saya saja tak mau puasa tak boleh ka? (dia ulang lagi soalan ni)

Tak boleh. Ini suruhan Tuhan. Kalau awak banyak sayang sama Dia, awak akan ikutkan...
(Dia termenung mcm memikirkan sesuatu, kemudian dia menggangguk). Saya sambung lagi,

Alah..tak pelah, satu tahun satu kali saja puasa (saya maksudkan yang fardhu), satu bulan saja..cuci2 perut, bagi perut rehat.

Ha..yalahkan..bagus-bagus cuci perut..rehat2... (tergelak2 dia menggayakan cara cuci perutnya tu. Selesai membeli, kami beredar)

Moga-moga dia nampak kenapa kita kena berpuasa:

1. tanda sayang kita pada ALLAH, kerana kalau kita sayang ALLAH, kita akan ikut segala arahanNYA. Yelah, macam kita sayangkan seseorang, kita sanggup buat apa saja untuk buktikan cinta dan sayang kita tukan, hatta ada yang sanggup lakukan dosa2 besar semata2 takut orang yg disayang tu lari daripadanya. Cuma yang uniknya, kita ni sayang pada yang TAK NAMPAK dan janjiNya, kalau nak tengok DIA, masa kat syurga nanti. Masalahnya, bab tunjuk cinta pada yang TAK NAMPAK dek mata kita ni yang mencabar ni. Semuanya memerlukan kekuatan IMAN untuk buktikan cinta kita...

2. Puasa itu ada kelonggaran pada orang sakit, musafir dan wanita yg period (secara ringkasnyalah)

3. Puasa tu nak bersihkan peyut...(Si Huda ( 3thn) sebut perut tu peyut ) . Pendek kata untuk kesihatan.

Ok..citer bab lain. Camner ngan sahur anda? ada yang dah terkantoi ke? Saya ni, hampir2 nak terkantoi sahur masa hari pertama nak puasa tu. Terpaksa melayan kerenah Alia yang entah mana dia import sepasang mata dia tu, segar bugar tak mo tidur bila dia tersedar jam 2 pagi lebih tu. Dahlah saya baru aje dapat masuk tidur jam 1 pgi tu. Bila kena paksa, 3 pagi lbh baru dia nak tidur. Kunci jam 4.30 pagi, mmg takut sangat2 terlepas sahur bila tidur semula ni. Syukur mak saya called lbh krg 4.15 pagi. Kalau tak tu, rasanya sahur pagi tu bye bye ajelah dek ngantuk sangat.

OK..IKLAN..IKLAN... IKLAN..

1. Sesiapa yang ingin menempah kad raya ekslusif siap ngan cetakan gambar anda sefamili, kata2 ucapan khas anda sendiri dan tema yang disukai, sila hubungi UDA (sila klik sini). Dia pakai kertas glossy lagi, ada contohnya kat blog dia. Gambar dia sefamililah. sapa lagi...hehe. tapi mmg cantik pada mata saya. Kliklah sana, tengok2 dulu, kalau berkenan, bolehlah tempah, bila lagikan...

2. Sesiapa yang nak menempah biskut raya, homemade punya..sila hubungi Zareda (sila klik sini). Kat blog dia ni pun ada siap gambar-gambar contoh biskut2 yang dijual.

Jangan salah sangka ya, ni saja2 nak tolong promote utk depa. Tolong bisnes kawan kata orang..

Friday, September 22, 2006

Selamat Datang wahai RAMADHAN...

Assalamualaikum,


Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa -
al-Baqarah:183

Selamat datang wahai Ramadhan..kedatangan mu dinanti oleh mereka yang beriman, tetapi kamu dibenci oleh mereka yang engkar dengan suruhan Allah. Hmm...dua tiga hari ni mula terasa aura Ramadhan. Tak tahulah kot saya yang terasa, tapi bila menjelang Ramadhan ni, suasana tu terasa semacam, macam ada kesyahduan dan kerinduan pada yang dinanti. Angin bertiup pun terasa berlainan sekali. Damai gitu. Dahlah dua tiga hari ni asyik hujan aje kat area rumah saya. Tapi yang pasti, waktu solat pun dah makin cepat sekarang. Kiranya nanti, waktu berbuka pun cepatlah ya. Alamak, puasa pun belum, dah citer pasal berbuka, apa raaa...


Kepada preggy mom, selamat berpuasa juga. jangan takut2 nak puasa bimbangkan janin kat dalam. InsyaAllah, ia ok. Kecuali kalau doktor menasihatkan jangan berpuasa sebab masalah kesihatan janin, barulah tak perlu berpuasa. Atau sebab ibu sendiri tidak sihat , maka ikutlah nasihat doktor. Nanti, bila dah sihat dan/atau bila baby dah lahir, barulah qadha' puasa tu dan fidyah juga, tetapi dalam situasi tertentu, tak perlu bayar fidyah. cuma qadha' puasa saja. Tapi, nanti saya ceritakan kemudian bab ni.

Kepada para suami n isteri, kuatkan iman masing2, jangan sampai terlajak. Yang kesiannya kat suami, kena ganti puasa dua bulan berturut2. kalau termiss satu hari or terbatal, kena ulang daripada awal balik. Kan menganiaya diri namanya tu. Waktu malam ada.

Kepada yang bermusafir dan sakit, boleh berbuka, tapi kena qadha' pada hari lain dan jangan lupa fidyah ya.

AZAM dalam bulan RAMADHAN ni apa ya??? Untuk saya;

1. Jangan saja-saja tinggalkan SOLAT TARAWIH - tp. pompuan baligh ada excuse..ehemm.


2. Jangan malas-malas mengaji ; kena kuat semangat, tengok tv berejam, blogging berejam..takkan Quran tu 1 jam tak bolehkan??? 5 minit duduk baca Quran dah resah gelisah macam orang nak masuk toilet kena beratur. Hmm..ni nak kena kuat lawan nafsu, setan dah kena rantai..ni jihad rajin ni..go go chaiyyo Syikin..

3. Sabar mau banyak ; anak2 den tongah naik perangai memasing..huhuhu. Selalu kopalo den tumbuh tanduk...kulit bertukor ijau (incredible hulk). Jihad sabarlah ni.

4. Kurangkan tengok tv, kurangkan dengar radio; ayok..boleh ka ni? tak pe, tgk rancangan berilmu dan tukarlah lagu nasyid. Ni nak kena jihad mata dan telinga pulak ni..go go chaiyyo Syikin.

5. Zero mengumpat; kena bawak stepler sentiasa, agak2 nak mengumpat tu, stepler mulut siap-siap. Ni jihad tutup mulut.

6. Jangan dating dan mantik-mantik; opps..den dating ngan suami bulehlah. Tapi jari jemari jangan merayap-rayap. Nak kono??? Ni jihad nafsu.

7. Makan ala kadar; tapi kopalo den dah berpinar susun resepi ni..huhuhu. Ni jihad makan ni.

8. Biskut rayo; tergorak pulak nak cipta sejarah tahun ni buek biskut rayo. Sojak kawin ni, mmg tunjuk2 yoo. Maso zaman daro dulu mmg an rajin buek biskut rayo, dah kawin ni maleh bonar-bonar. Ni jihad...nak letak kategori mana ya?

9. Baju rayo; raso eyy cam nak cipto sejarah gak, tapi nantilah dulu.

Ok. MALAM NI DAH START TARAWIH...selamat BERTARAWIH, BERPUASA, dan BERJIHAD.











Thursday, September 21, 2006

Buku dan Gambar


Assalamualaikum wbth,


Buku Tafsir Quran untuk Kanak-kanak Bergambar ini ada 14 siri. Melibatkan juz 30 dalam Al-Quran. Yang saya beli ni Tafsir Surah al-Fatihah. Pada saya ia sangat menarik dan mudah difahami kerana ia menggunakan bahasa dan penjelasan mudah untuk kanak-kanak memahami tafsir setiap ayat dalam Surah ini dan dikaitkan sedikit dengan suasana semasa. Ada ilustrasi bentuk komik yang sesuai untuk kanak2, ada istilah tafsir untuk kanak2 memahami dengan lebih jelas lagi, ada belajar sedikit B. Arab dalam bentuk kotak bahasa. Buku ini sesuai untuk kanak2 usia 7-12 tahun. Tapi, saya yakin ia juga sesuai untuk remaja dan dewasa terutama yang baru hendak mendalami ilmu agama khususnya surah-surah pendek al-Quran.
Ia adalah terbitan PTS.ONE Sdn.Bhd. Harganya cuma RM 10 setiap sebuah.


Ok. Buku KAMCENG DENGAN SOLAT ini amat menarik. Sesuai untuk mereka yang ingin memahami mengapa kita perlu bersolat. Bahkan ia juga ilmu untuk kita jika orang bertanya dan ajak berhujah tentang kepentingan solat!!!

Buku ni berbentuk ala-ala perbualan di antara dua sahabat, Milah dan Suraya, yang disampaikan secara santai dan menarik. Bahasanya amat mudah difahami. Ada gak style2 lawak gitu.Menariknya pada saya, ia membuatkan kita nak menyelak sehelai demi sehelai lembaran buku ini. Husna, anak saya yang baru darjah satu suka membaca buku ini. Ada ilustrasi komik juga, siap dengan latar masa dan tempat. Pendek kata, enjoy baca buku ni. Tak keterlaluan saya katakan ia juga sesuai dijadikan hadiah kepada orang lain, hatta untuk diri sendiri.

Ia terbitan PTS Millennia Sdn.Bhd. Harganya cuma RM 13 sahaja.

p.s. Saya membeli kedua-dua buah buku ini di kedai buku di UIA Gombak. Saya kira ia juga ada di kedai-kedai buku di luar sana.




Ok. Inilah dia pokok betik belakang laman rumah yang dah tumbang dek anai-anai tersebut. Sebelah kanan gambar ni sepatutnya ada pagar berdawai, tetapi telah jatuh terjuntai ke bawah sebab dihempap oleh pokok betik ni. Kena hempaplah jugak pokok daun pandan saya tu. Sayang saya terlupa nak tangkap gambar bahagian hujung pokok ni yang terbaring atas tangga laman belakang ni dan berada elok2 di luar pintu pagar laman rumah kami dan jiran sebelah. Kalau tak, satu hal nak membetulkannya juga. Sila klik sini untuk membaca kisah pokok tumbang ni.

p.s. Jika anda adalah pengguna Propolis Gold sebelum ini dan ingin mendapatkan bekalan, sila hubungi saya di widaad98@yahoo.com .



Tuesday, September 19, 2006

Citer-citer mini

Assalamualaikum...

Tak tau nak citer apa, tapi ada citer-citer mini nak kongsi bersama;

Pope Benedict XVI - Inilah ucapan teks beliau yang menaikkan kemarahan umat Islam seluruh dunia "(The emperor) addresses his interlocutor with a startling brusqueness on the central question about the relationship between religion and violence ... saying, 'Show me just what Muhammad brought that was new, and there you will find things only evil and inhuman, such as his command to spread by the sword the faith he preached."

Sila layari:
benedict_xvi_--_on_god_and_the_prophet

-terlajak perahu boleh ditarik balik, terlajak kata? No u-turn u-turn dah...

Purdah- "Walaupun berpurdah, saya mampu melakukan apa juga aktiviti sepanjang tiga bulan mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). "Sokongan padu jurulatih dan rakan ternyata menguatkan semangat saya untuk mencuba latihan kawat, memanjat, menembak dan meredah halangan," kata Farzanah Abdul Halim, 18, peserta PLKN di Kem Semarak, Tanjung Gosong, dekat sini. - berita Harian Metro, 12 Sept. 06

Syabas dik, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Sesungguhnya purdah dan tudung bukan halangan utk bergerak aktif selagi ia tidak melanggar hukum syarak.
(sayang, gambarnya tak berjaya dimasukkan di sini)

Petua - saya nak minta tolong, ada sesiapa tau petua nak menghalang tupai masuk rumah? yelah, selain drp tutup tingkap n pintu. Sebabnya, ada sekor tupai ni tersesat masuk rumah saya sekali, sejak tu, hari2 akan ada tupai masuk ikut tingkap dapur. Menyelongkar tong sampah. Ada gak dia pernah terberak kat bilik belakang tu. Sabor jeklah. La ni, dia rajin pulak bawak kawan sekor sekali masuk. Belerang ok tak untuk letakkan kat para tingkap tu? Atau ada cara lain? Nak tutup tingkap sepanjang siang, rasa lemas pula.

Calling-calling - Terima kasih Maklang waktu malam tadi dan Zareda waktu tengahari tadi kerana sudi menelefon saya. Masing-masing ramah orangnya. Lama kami bercerita. Best tul. Paling tak sangka, rupanya Zar sama batch dengan saya di kampus tapi kami berlainan fakulti aje hehe. Maaflah ya Maklang dan Zar kalau bil telefon tinggi. Saya ni tak boleh diajak berborak, susah nak stop, hehe.

Surat- Apa nak buat dengan surat2 bertimbun kat rumah saya ni ? Adalah dalam satu plastik. Ni semua surat penyewa-penyewa sebelum ni. Bukan sebarang surat, tapi surat2 cinta daripada intitusi2 kewanganlah, surat rasmilah dll. Saya terfikir, depa ni tak tukar alamat rumah baru ke masa pindah dulu? Ada yang cadangkan buang aje, tpi fikirkan takut2 tuan punya surat datang bertanya satu hari nanti, sapa nak jawab?

Sunday, September 17, 2006

Satu Tahun

Assalamualaikum,

Hari ni 17 September 2006 (Ahad).
Genap satu tahun saya ber blogging.
Moga saya akan terus ber blogging.
Terima kasih kepada anda yang sudi membaca blog saya ini.
Terima kasih di atas segala komen anda di setiap entri saya.

Terima kasih kepada suami terchenta yang memperkenalkan dunia blog ini kepada saya. Walaupun pada asalnya saya ragu-ragu untuk mendaftar diri sebagai blogger, tetapi dia nampaknya berjaya 'menghasut' saya untuk berbuat demikian. Dia pun tak sangka saya akan rajin blogging hinggakan satu hari dia cakap dengan anak2, "ummi kamu asyik blogging aje". Saya pun tersengih-sengih kerang,"Itulah, sapa suruh abang ajar Nor blogging.." heheh.

Tetapi, andai suatu hari anda dapati saya tiada di blogland ini secara tiba-tiba tanpa akhir kata, mungkin ketika itu saya telah ke rahmatullah, kerana kematian itu tidak akan lewat sesaat dan tidak akan cepat sesaat. Tiada lain yang saya pinta, sedekahkanlah al-Fatihah kepada saya dan maafkanlah saya di atas segala tulisan saya yang menyinggung hati anda ya.
>>>>>>
Al-fatihah kepada Allahyarhamha kak Haniza, adik kepada Prof. Madya MKI yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat lepas. Beliau menderita sakit yang amat sangat. Saya langsung tidak mengenali beliau, tetapi melalui blog Prof. sahaja yang berkongsi pengalaman kesakitan Allahyarhamha ( 5 entries berasingan). Paling menyayukan hati saya kali ini apabila melihat gambar kenangan arwah bersama 4 anaknya yang masih kecil. Air mata tidak dapat ditahan-tahan lagi. Kasihan dan terharu sungguh melihat wajah anak2 itu yang kehilangan ibu mereka di usia begitu muda. Terbayang saya, macamanalah kalau anak2 saya di tempat mereka, menyaksikan kematian ibu di hadapan mata mereka sendiri. Allah, berilah kekuatan dan ketabahan pada anak2 ini mengharungi rasa rindu dendam yang amat sangat pada arwah ibu mereka. Engkau Maha Mengasihani. Amin...

Pengumuman & Cerita

Assalamualaikum,

Saya nak umumkan beberapa perkara;

1. Seminar Perundangan Keluarga PERCUMA akan diadakan pada;

Tarikh : 21 September 2006 (Khamis - sila ambil perhatian, ia hari bekerja)
Masa : 9 pagi - 5 ptg
Tempat: Dewan Sekolah Agama Menengah Tinggi Kampung Jawa Kelang (terletak selepas KISAS)
Anjuran: Jabatan Agama Islam & Persatuan Peguam Syari'e Malaysia

Yang berminat untuk hadir atau menghantar wakil, sila hubungi:
Sdr. Rushdan Sujak- 019 381 5535


Cepat...ia terhad untuk 100 peserta sahaja bagi yang mendaftar dengan Sdr. Rushdan.

2. Saya kira ramai yang mengetahui kontroversi mengenai jenama roti terkenal, High 5. Untuk mengetahui perkembangan mengenainya, sila lawati http://www.muslimconsumer.org.my/

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Ok. Saya nak cerita pasal pemotong rumput yang kurang adab saya kira. Pagi Sabtu, saya menyidai pakaian di luar dan suami pula keluar ada urusan. Tengahari tu, saya tengah memasak di dapur, terdengar orang memanggil daripada luar. Daripada balik langsir sliding door yang jarang ni, rupanya dia pemotong rumput. Kemudian saya menyelak langsir, baru perasan, rupa-rupanya si Pemotong rumput ni dah siap-siap bukak pintu pagar rumah saya!!! Sambil dia berdiri megah dengan mesin potong rumputnya. Baru saya teringat, saya terlupa kunci pintu pagar tu pagi tadi sebaik suami beredar. Rasa kulit saya ni bertukar hijau (incredible hulk) tiba-tiba sebab marah dengan sikap dia yang membuka pintu pagar tanpa izin walaupun tak berkunci. Siap dia tanya saya lagi,



Mana? (Amboi, dia tak tanya pun saya nak memotong rumput atau tidak, tiba2 tanya bahagian mana yang saya nak mesin)
Tak mau...sapa suruh bukak pagar? Ayokk... (tegas suara saya. Perkataan ayok tu spontan terkeluar)
Ayok (Terkejut dia dengan reaksi saya. Dia angkat tangan mohon maaf).


Geram betul saya. Kurang ajar rasanya. Bila dia beredar dengan motornya, baru saya keluar untuk mengunci pintu pagar tu. Dahlah dia tak tutup rapat pagar tu semula...Sib baik pintu grill rumah saya berkunci, kalau ternganga, agaknya kat muka pintu dia terjengul. Spoil kejap mood saya.


p.s. Huda dan Aiman masih belum sembuh lagi. Sebelah pipi lagi naik benguk pulak. Dah nampak mengembang aje muka masing-masing. Harap-harap dua2 nya cepat sembuh.
p.s.s. Saya nak tahu, adakah sidebar saya ni turun ke bawah di monitor anda? Sebab pada monitor saya ni, sidebar ini telah turun ke bawah. Harap boleh beritahu saya ya. Terima kasih.

Thursday, September 14, 2006

Depa buat lagi...

Assalamualaikum,

Diserang kemalasan untuk mengupdate entri adakah petanda awal seseorang blogger itu akan berhenti??? Kalau ya, hmm...

Ok. Saya teringat kata pepatah orang, sepakat membawa muafakat. Sepakat membawa berkat. (Betui ke ni? Sebab tak ingatlah ayat penuhnya). Rupanya, sepakat juga boleh membawa kerosakan dan kemusnahan!!! Sebabnya, pokok betik belakang rumah saya yang amat subur dan manis isinya telah tumbang!!! Pemangsanya adalah ahli muafakat anai-anai !!! yang saya kira mereka telah bekerja keras, siang dan malam untuk memusnahkan isi dalam batang pokok tersebut. Makanya ia menjawab persoalan saya selama ini mengapa pokok ini dah lama berhenti berbuah dan daunnya asyik gugur memanjang.

Alkisahnya, petang Isnin lepas, semasa hujan tengah turun lebat selebatnya, saya yang berada di dapur tengah bersemangat menyediakan adunan lempeng pisang, telah dikejutkan dengan bunyi berdebuk kat belakang rumah. Saya terfikir takkan ada benda jatuh disambar kilat kot, sebab tak de bunyi guruh dan kilat langsung. Saya tergerak meninjau ke luar tingkap dapur dan omakkkk...separuh pagar dawai jatuh dihempap pokok botik!!!. Tapi syukur pintu pagarnya tak apa2. Saya pun terus keluar ke belakang laman dan laa hai, pokok tu tumbang sekali akar2nya terkeluar. Bila saya tengok dekat2 kat area batang pokok tu, ya Allah, suku isi batang bermula daripada bawah batang pokok tu dah kosong!!!. Banyak sangat anai2 kat situ. Geli pun ada.

Kononnya nak tolak ajelah pokok yang dah tumbang tu ke bawah jalan belakang (laman belakang rumah ni kawasan tinggi), tolak-tolak pangkal pokok tu dengan kaki tak boleh pulak. Masih melekat kukuh dengan akarnya. Sib baik hujung pokok ni tak masuk ke pagar orang sebelah, hanya di atas tangga luar pagarnya sahaja, kalau tak, naya aje. Pokok ni tinggi, hampir menyamai bumbung rumah dua tingkat ni. Saya telefon memberitahu suami yang dalam perjalanan pulang tu. Hati tu pun dah berdebar gak, camnerlah nak baiki pagar dawai yang jatuh tu, kalau suami tak dapat baiki, alamat bo*el ajelah laman belakang tu tanpa pagar, seriau memikirkan bakal2 pencuri yang akan menerjah masuk. Na'udzubillah.

Bila suami balik, tak dan berehat, terus dia mulakan operasi membersihkan belakang rumah tu.Kesian kat dia kena meredah hujan. Syukur masa tu hujan bertukar gerimis pula. Suami terpaksa memotong pokok tu kepada 4 bahagian untuk senang menariknya turun tangga dan letakkan kat tepi jalan. Dan sedikit akar yang masih bersambung dengan pokok tu ditetak putus dan suami hanya menolak ia jatuh ke bawah. Bila saya tengok isi batang pokok bahagian atas, berwarna putih dan padat isinya berbanding dengan yang dah dimakan anai tu. Jauh beza betul.

Kemudian, operasi membetulkan pagar dawai bermula. Hujan pula lebat semula, siap dengan guruh. Tak putus2 baca ayat, untuk berlindung daripada kilat. Syukur hanya perlu memaku semula semula bahagian hujung pagar tu pada dinding luar dapur tu. Bila dah siap sempurna, alhamdulillah, tak risau dah dengan pencerobohan daripada luar kecuali depa panjat pagar ni. na'udzubillah.

Dan setelah itu, saya pun sambung semula operasi membuat lempeng pisang...

**********************************

1. Lupa nak war-warkan ucapan tahniah pada Kak Wan (Alex Lacey) kerana dapat baby boy. 4.5 kg you!!! Alhamdulillah, dapat bersalin normal. So far, dia n baby sihat walafiat. Alamak, lupe nak tanya nama. Dapatlah dengar suara kak Wan dah. Ramah orangnya.

2. Tima kasih pada Ayu sebab inform akak pasal Kak Wan & bagi no. fon kak PB.

3. Dah dapat cakap ngan kak PB...ramah orangnya. Esoknya rajin sms lagi tanya dah makan tengahari atau belum. Thanks kak.

4. Hari ni, Khamis, adalah hari ke 4 Huda pula kena benguk. Petang semalam, Aiman pun mula kena benguk. Minta sangat janganlah Alia pun kena, sebab kesian duk tengok kakak n abangnya menahan sakit bengkak benguk tu.

5. Kak A, dah ada progress. Walaupun belum sedar sebab doktor bagi dadah paling kuat, tapi bila dipanggil, mulutnya ada bergerak2 cuma suara tak keluar lagi. Yang bagusnya, suaminya memasangkan earphone kaset Al-Quran. Saya dpt salah maklumat mengenai 3x operation dlm masa 24 jam, sebenarnya dlm tempoh 48 jam. Maafkan saya ya.

Monday, September 11, 2006

Lebih Handsome & Kuasa Cinta

Assalamualaikum...

Nak cerita ni... Sesekali saya membeli lauk2 basah (kecuali ayam) dan sayur daripada penjual sayur yang lalu di depan rumah saya dengan lori kecil mereka jika barang-barang habis cepat tanpa dijangka (Biasanya suami yang beli barang kat kedai or pasar malam. Saya nak ke kedai berdekatan dengan berjalan kaki sambil membawa Alia dan Huda leceh, lambat jadinya). Mereka ni suami isteri berbangsa cina dan berusia lingkungan 40 an ke atas. Ramah orangnya dan suka bercerita, pandai bercakap B.M biarpun kedengaran slang cinanya sesekali, naknya pulak saya rajin layan mereka berborak, lagilah menjadi2. Cam member plak.

Satu pagi di minggu lepas, masa duk membeli tu, first time nyonya ni nampak suami saya. Sibuk dia tanya suami saya kerja kat mana, saya jawablah sekian sekian tempat. Rupanya ada sorang customer dia pun kerja kat tempat suami saya. Dia suruh saya tanyakan suami kalau kenal si fulan. Siap dia desribe si fulan ni lelaki Serani. Handsome pulak tu.
Yang saya nak tergelak tu, punyalah dia duk kerap menyebut handsomenya si Fulan tu. Yang suami dia tersengih2 aje mendengar. Saya pun tergerak nak usik, eh..suami awak lagi handsome tau..

saya tau...tapi dia banyak handsome

eh, suami saya handsome tau.." saya cakaplah camtu pulak

saya tau, suami kakak handsome (sabor jek dia panggil saya kakak..huhuhu), tapi dia lebih handsome drp suami kakak " masa ni sib baik saya tak gelak kuat2. selamba aje dia jawab camtu.punyalah dia pertahankan mamat tu.Suami dia duk sengih lagi.

eh, suami saya lagi handsomelah" lagi galak saya pertahankan suami sambil gelak2. Tiba-tiba dia tergelak,

haiyya, kakak banyak baguslah," sambil ketawa besar tu dia masuk ke dalam lori dan dia thumbs up kat saya. Agaknya dia kagum memikirkan saya mempertahankan kehandsoman suami saya hehe.Kemudian mereka pun berlalu pergi meninggalkan saya yang masih tersengih2 mengenangkan perbualan tadi.

Pendek kata, itulahkan KUASA CINTAkan? Siapa lagi nak puji atau mempertahankan pasangan kita lawa atau handsome kalau bukan kita? Begitu juga dengan dia. Kalau dalam hati ada cinta, walaupun orang nampak pasangan kita kureng/hodoh/buruk/cacat/gemuk, tapi pada kita, dialah paling lawa, paling handsome dalam dunia. Hati tu tak berpaling ke arah lain dah. Amin.

Tapi...bila cinta tu habis or mati, biarlah lawa macamana sekalipun, handsome macamana sekalipun, hatta cinta itu adalah cinta pandang pertama, boleh lenyap tiba-tiba, terutama kalau datang orang ketiga atau masalah2 lain yang wujud. Kalau yang buruk tu, lagilah berganda2 nampak buruknyakan? Na'udzubillah.

Apa pendapat anda ya?

.......................................................

p.s. keadaan Kak A dah stabil tetapi masih belum sedar. Dr. sedang memantau buah pinggangnya. Kalau proses buah pinggangnya ok, insyaAllah, dia boleh survive. Kata X, suami Kak A pun nampak cool berbanding sebelum ni yg macam lost. Kita terus doakan Kak A ya.

Saturday, September 09, 2006

Rangkuman berita

Assalamualaikum..

Malas wehhh nak update blog. Hari Rabu lepas tak de di rumah seharian, balik pun dah hampir lewat malam. Khamis pagi pulak, dah siap entri baru, tinggal nak post aje tup tup ada connection error, lepas tu tak sengaja terpadam semua . Terus hilang mood nak buat entri semula.

Menjawab komen2 entri sebelum ni;

- Moga kita semua terutama para penjual barang dpt mencontohi sikap jujur A yang bukan beragama Islam tu.
- Yap…kami dah beli laptop baru :D
- Kami pun tak tahu kenapa care centre tu tak mahu mendedahkan identity pemilik asal laptop tu.
- Kalau laptop murah tu kena tengok jenama agaknya, mungkin ia bukan jenama terkemuka .
- ZZ, akak lum nak bukak ruang borak lagi, takut tak dapat handle :D.

Oklah, nak bagi rangkuman berita yang berlaku tanpa sempat dicoretkan di sebelum ini.

Calling-calling – Dalam 2 minggu lepas, saya berpeluang mengenali suara Ayu dan IV menerusi perbualan telefon. Masing-masing happening orangnya. Terkejut saya dengan kelembutan suara IV… macam suara budak. Awet muda. Hehehe. Dengan Zareda pula, kami hanya sempat bersms aje sebab dia sibuk sangat masa tu.

Trip – Kasihan Husna sebab tak dapat ikuti lawatan sambil belajar pelajar2 Tahun 1 sekolahnya pada Selasa lalu kerana benguknya telah berpindah ke pipi sebelah lagi. Tapi,syukurlah dia dah ok sekarang.

Buku – Saya antara 10 bloggers bertuah mendapat buku percuma dari Prof. Madya MKI. Ia sampai petang Selasa lalu. Buku ini mengenai pengurusan UiTM. Terima kasih banyak-banyak Prof. Madya :D.

Siput sedut – Hari Rabu lepas, saya sekeluarga menikmati siput sedut masak lemak cili api masakan mak saya. Tapi, mak saya tak makan, dia memang tak lalu, cuma masak aje bolehlah. Husna dan Aiman pula meratah sampai 2 mangkuk siput sedut tu. Part sedut siput ni tu yang thrill tu, ada masanya senang keluar isinya, ada masanya sampai sakit perut nak menyedutnya keluar..hehe.

Kritikal – Petang Rabu, saya dapat call drp sahabat, X menceritakan jirannya, Kak A bersalin normal di pusat perubatan swasta. Tetapi bleeding selepas tu. Kemudian Dr. terpaksa bedah membuang rahimnya. Malangnya, masih bleeding lagi. Terpaksa dipindahkan ke hospital kerajaan. Kat sana Kak A terpaksa dibedah lagi. Keadaannya masa tu kritikal. Diberitakan hingga 6 doktor merawatnya masa tu. Malangnya, pendarahan tak berhenti. Terpaksa dibedah lagi. X dapat tahu, ketika pembedahan utk kali k 3 ini dilakukan, keadaan Kak A tu mmg teruk hinggakan mukanya bengkak2, semua yang melawatnya terkejut sebab dah bukan rupa dia. Suami Kak A dah macam putus asa sebab teruk sangat keadaan Kak A. Terkini, saya dapat tahu yang darah Kak A cair dan kemudian doctor dpt tahu ia berpunca drp ovari. Makanya ovari tersebut terpaksa dibuang. X sempat melawat Kak A di ICU, lemah lututnya melihat keadaan Kak A dengan wayar berselirat sana sini. Saya pula tak boleh bayangkan wanita lepas bersalin terpaksa harungi 3 kali PEMBEDAHAN dalam tempoh 24 JAM!!! Ngilu dan ngeri memikirkan badan yang lemah itu terpaksa ditoreh perutnya di tempat yang sama hingga 3 kali. Moga Allah panjangkan umur Kak A. Dahlah baby kali ni first time dia dapat boy, sebelum ni dah ada 2 anak perempuan.

Weekend ni nampaknya kami tak kemana-mana. Duduk rumah aje. Selamat berhujung minggu semua.

Tuesday, September 05, 2006

2nd hand laptop:Awas!!!

Assalamualaikum,

Saya nak kongsi satu cerita dengan anda dan telah mendapat keizinan daripada suami saya kerana ia berkaitan dengan pengalaman beliau sendiri. Ok, lebih kurang setahun lebih yang lalu, suami saya membeli 2nd hand laptop jenama terkemuka, XXX dari A, menerusi jualan lelong dalam salah satu website di Malaysia ni. Laptop ni banyak jasanya dengan kami, terutama saya sendiri dalam menyiapkan disertasi master saya. Hinggalah, lebih kurang 3 bulan yang lalu, keyboard laptop ni bermasalah.

Suami saya telah pergi ke care centre syarikat jenama XXX ni dan telah mengganti keyboard baru dengan yg lama tu. Di sinilah kisahnya bermula...Setelah pekerja tu menyiap pasang keyboard baru tu, dan suami saya nak membayarnya, pekerja tersebut terkejut melihat rekod yg tertera pada skrin mesin pembayaran komputer tu bahawa laptop suami ni adalah LAPTOP CURI!!! Suami saya lagilah terkejut. Rupa-rupanya, pemilik asal laptop ni telah melaporkan kecurian laptopnya kepada syarikat tersebut.

Malangnya, care centre ini tidak mahu masuk campur (pelikkan?) dan pekerja ni telah membuka semula keyboard baru yang dia pasangkan pada laptop tersebut dan menyuruh suami saya memasangnya sendiri, sebabnya segala yg pekerja tu buat spt tolong memasang alat ganti komponen komputer akan direkodkan dalam komputer, jadi mereka tak mahu terbabit dalam kes ni.

Suami saya pulak, mintalah dengan pekerja tersebut alamat or nombor contact pemilik asal tersebut untuk beliau menghubunginya. Tetapi dia tidak mahu memberinya!!! Depa tak mahu masuk campur dalam kes ni. Nak buat macamana, terpaksalah suami saya selesaikan sendiri masalah ni.

Syukurlah suami saya masih menyimpan no. contact si A, dan menceritakan pada beliau segala yang berlaku. Si A terkejut, dan memohon beberapa hari untuk mencari penjual laptop tersebut pula. Dalam masa yang sama, suami saya dapatkan pandangan beberapa pihak termasuk pihak polis sebab adalah kesalahankan menyimpan barang curi. Dan suami saya telah dinasihatkan supaya memulangkan semula laptop tersebut.

Dipendekkan cerita, beberapa hari selepas tu, si A telah dapat mengetahui siapa penjual laptop tersebut, si B. Tapi untuk tidak memanjangkan masalah ni, si A telah bersetuju untuk mengambil semula laptop tersebut daripada suami saya dengan menyerahkan semula wang pembelian laptop tersebut. Ini pun si A minta seorang kawannya, si C untuk melakukan proses seterusnya...adalah m.o.u bertandatangan dibuat antara suami saya dengan si A dan C. Kiranya masing-masing win win situation.

Si A telah membayar PENUH harga laptop yang suami saya beli daripadanya dahulu. Tetapi, memandangkan suami saya dah memakainya lebih kurang setahun, suami saya memulangkan beberapa ratus ringgit kepada beliau. Tak sedap pula nak ambil semuanya sedangkan kita dah gunakan kan?Terus terang, kami rasa sedih pulak nak berpisah dengan laptop tu sebabnya ia memang sedap digunakan.

So, pengajaran untuk anda sekalian. Kalau anda ingin membeli laptop 2nd hand, dapatkan dulu serial number laptop yang tertera pada laptop tersebut daripada bakal penjual tersebut dan rujuklah ia pada care centre jenama laptop berkenaan. Anda akan dapat tahu samaada laptop tu barang curi atau tidak, kecualilah pemilik asal tersebut tidak melaporkan kecurian laptopnya pada syarikat tersebut.

Sunday, September 03, 2006

Rasa TERHINA

ASSALAMUALAIKUM...

Saya fikir tak mahu menghantar sebarang entri hari Ahad ni. Tapi, terpanggil untuk menulis setelah ruangan komen saya di entri sblm ni menerima kunjungan seseorang. Tapi, saya delete komennya sebab blogger ini free sex person saya kira. Hatta gambar profile beliau pun terang-terangan gambar "milik" lelaki. saya tak tahu itu dia "punya" atau tidak, tapi MURAHNYAlah untuk tayangan awam.Terkejut besar saya. Rasa terhina dan marah yang amat sangat. Saya ada anak yang membaca blog saya ni, dan kawan2 lain yang saya rasa saya wajib jaga pandangan mata mereka. Terus mata saya rasa sakit, tekak rasa loya dan sesak dada. Saya tak tahu blogger tu lelaki Muslim atau tidak. Tapi perbuatannya meletakkan gambar2 porno di blognya amat keterlaluan. Terang-terangan muka dan tubuh wanita2 tersebut ditunjuk tanpa tapis langsung!!! Yang sedih tu kebanyakannya muka macam muka wanita MELAYU kita. Astaghfirullahal 'adzim. Na'udzubillah. Maybe dia berfikir, "ini zaman moden beb..free sex is a common." tapi ingatlah, SEMODEN MANA PUN ABAD KITA SEKARANG, SECANGGIH MANA PUN DUNIA KITA SEKARANG DENGAN ZAMAN TEKNOLOGI MAKLUMATNYA...KITA MENUJU ALAM AKHIRAT...TP YANG PASTI KITA AKAN BERTEMU ALAM BARZAKH DULU.(Hmm..jangan pulak kata, kubur masing-masing sendiri punya hal lah..mmglah kubur masing2, masalahnya tahan ke azab kubur yang maha dahsyat tu? jari terkepit kat pintu pun dah menjerit, anggota badan terkena percikan air panas atau minyak panas pun menggelupur menjerit, jatuh dalam longkang pun dah mengaduh sakit.Terhantuk kepala kat dinding pun dah pening bukan kepalang sampai rasa nak sepak-sepak dinding tu. Inikan pula azab dahsyat ALLAH AZZA WAJALLA)

Kepada blogger tersebut, andai anda seorang lelaki MELAYU beragama ISLAM, bertaubatlah dengan sebenar-benarnya. Saya doakan agar anda menerima taufik dan hidayah ALLAH. Tanggungjawab anda juga untuk menjaga maruah wanita-wanita ini, bukan merosakkan diri dan maruah mereka. Dan seandainya anda lelaki bukan beragama ISLAM. Saya doakan anda menerima NUR ISLAM hidayah Allah. Amin.

SARANAN SAYA PADA KERAJAAN, BLOG-BLOG LUCAH SEPERTI INILAH PATUT DIHARAMKAN TERUS DARIPADA BERLELUASA DI INTERNET KERANA IA ADALAH PEROSAK AKHLAK MASYARAKAT. PANTAU JANGAN TAK PANTAU!!!

p.s. Dan kepada anda yang telah membaca terlebih dahulu komen blogger tersebut sebelum sempat saya mendeletenya, saya pohon JUTAAN KEMAAFAN kerana lambat memeriksa ruangan komen saya ini.

Friday, September 01, 2006

Sambutan Kemerdekaan

Assalamualaikum wbth...

Dah 1 Sept. hari ni (Jumaat). Dan dah 5 Syaaban hari ni. Bulan depan Ramadhan. Kejap aje masa berlalukan...

"Meleka ! Meleka ! Meleka " Jerit Huda sambil mengibarkan bendera kecil semasa melihat sambutan detik 12 malam di tv, dengan diselangi suara Alia merengek sebab berebutkan bendera yang satu tu. Pujuk punya pujuk, barulah Alia dapat merasa memegang bendera tu. Wah...dia pun sama duk kibar2kan bendera tu. Yang si Huda tak senang duduk, bilalah dia nak dapat pegang balik bendera tu. . "Deka ! Deka !" Gitu pulak sebutan Alia akan perkataan Merdeka.hehehe.

Bila saya tukar2 saluran RTM 1 & Astro 4 menjelang 12 tgh malam, saya terfikir, selain drp nyanyian, tarian & bunga api, tiada idea lain ke yang boleh dimasukkan ke dalam acara pentas tu untuk menyedarkan masyarakat betapa kemerdekaan negara & diri itu perlu lebih dihargai? Tak taulah kot2 ada diselitkan dan saya terlepas melihatnya sbb saya tengok pun lompat-lompat, dan selebihnya melihat siaran lain. Saya terfikir, kan bagus kalau ditayangkan sedikit slot mangsa2 yang mengharungi suasana peperangan di negara2 luar terutama di Lubnan, Palestin..biar mereka melihat suasana kelam kabut dan hiruk pikuk keadaan perang, bedilan bom n senjata2 berat dan mayat2 bergelimpangan di sana sini...dan membandingkan dengan suasana yang ada di sini, supaya mereka lebih menginsafi dan bersyukur dengan suasana aman yang ada di negara kita. Dahlah dua tiga hari sebelum merdeka ni lebih dihighlightkan kisah2 artis, hingga rasa tenggelam suasana merdeka tu...hmm, tak dapek an nak nolong doo.

Paling membimbangkan saya, negara kita ni macam dah overload ngan dunia hiburan. Asyik hiburan memanjang..paling seronok budak2 dan remaja kitalah, orang tua pun apa kurangnya. Terlebih hiburan boleh menyebabkan hati kita mati apatah lagi kalau hiburan tu tidak ada unsur2 mengingati Allah. Tu yang hati kita susah nak terima jalan kebenaran, kalau orang tegur untuk kebaikan kita melenting. Na'udzubillah. Nampaknya kita yang bergelar ibu bapa ni kena berusaha lebih mendidik dan mengawal anak2 kita di akhir zaman ni. Tugas berat ni.
Semalam cuti, saya sekeluarga hanya ke rumah mak saya dari tengahari hingga ke malam. Keadaan Husna alhamdulillah, tak teruk mana benguknya setakat ni. Cuma bangun pagi aje dia terasa kuat denyut sakit tu. Doktor pun tak delah bagi suntikan sbb kelenjar yg bengkak tu tak bertambah besar dan antibiotik pun tak de. Demamnya pun tak de, cuma malam jer badan jadi dedar suhunya. Selebihnya, lasak macam biasa. Doktor awal2 bagi tahu kemungkinan anak2 yang lain akan terjangkit sama, sebab benguk ni ada viruskan..tu yang senang berjangkit.

Malam tadi tengok berita utama tv3, terkejut tgk rakaman budak perempuan n lelaki naik motor sambil melakukan aksi ala2 akrobatik gitu. Gadis ni dengan beraninya berdiri atas tpt pembonceng tanpa bertopi keledar sambil budak lelaki tu menaikkan sedikit handle motor tu sampai terangkat tinggi tayar. Adui..seriau menengoknya. Dahlah tak bertopi keledar. Buatnyalah tiba2 motor tu terbalik ke belakang or terjatuh tiba2 dan kepala budak perempuan tu terhentak ke jalan raya. tak ke lemau jadi kepalanya? Elok2 keras jadi lembik kepala tu. Elok2 sihat masuk icu. Tak ke menyusahkan orang tua namanya nak menjaga mereka terlantar kat hospital ? Buatnya koma...alahai... memang betul2 menyusahkan orang tua. Sebab sendiri cari bala. Nad'uzubillah. Maaflah kalau sedara mara mereka ni terbaca komen saya merasa kecil hati. Kesian parents mereka terutama keluarga si gadis tu, mesti malu ngan masyarakat setempat, yelah muka anak2 depa tu nampak kat tv, biarpun tak jelas 100%, tapi kalau figure anak sendiri takkan tak kenalkan? Kalau sayalah budak perempuan tu dan arwah ayah masih hidup, memang lunyailah badan saya kena belasah cukup2, sebab (i) buat kerja tak senonoh (ii) Memalukan orang tua.

Pendek kata, hebatnya cabaran menjadi ibu bapa hari ni. Menjadi anak2 zaman sekarang pun memang mencabar sebab persekitaran negatif tu terlalu kuat pengaruhnya dan bergantung pada keimanan dan kesedaran diri sendiri untuk menjadi manusia berguna. Itu sebabnya pentingkan kita melihat anak kita berkawan dengan siapa dan mengenali juga latar belakang keluarga mereka ?Moga anak2 kita semua ya mama dan papa bloggers menjadi anak2 yang berguna dan berjaya dunia akhirat. Doa kita untuk mereka pun jangan putus walaupun mereka dah kawin nanti, kiranya sampai akhir hayat merekalah. Kita sendiri kena sentiasa ingat bahawa anak2 kita adalah aset kita dan paling utama di akhirat nanti.

p.s: hari ni first time belajar masak lemak cili api daun maman + ayam. Buat ala-ala rendang gitu (keringkan kuahnya).Harap2nya jadilah...amin. Sebab silap aribulan, boleh rasa pahit lauk ni.